Rumah Permainan hiburan Pendidikan anak-anak Tenaga baru Perniagaan kewangan Gelang pintar Berita ekonomi Permainan Teknologi Fesyen Kehidupan Anak Kesihatan Sukan Hartanah Berita Hotel Ibu bapa-anak Makanan

Empat negeri dikenal pasti berpotensi peneraju CCUS

2024-07-14 berita.rtm.gov.my HaiPress

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli

KUALA TERENGGANU,14 Julai - Kerajaan setakat ini mengenal pasti empat negeri iaitu Terengganu,Pahang,Sabah dan Sarawak yang berpotensi menjadi peneraju dalam industri pemerangkapan,penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di negara ini.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata,ini berikutan kesemua negeri berkenaan mempunyai telaga minyak yang sudah tidak digunakan dan turut memiliki fasiliti terminal sedia ada bagi menjalankan aktiviti CCUS.

“Oleh itu,Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan negeri-negeri ini untuk memastikan semua berjalan dengan baik. Yang mana (laksanakan) dahulu,semua itu bergantung kepada kesediaan komersial setiap projek,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama kerajaan negeri Terengganu mengenai pelaksanaan inisiatif CCUS di Malaysia di Wisma Darul Iman,di sini hari ini.

Rafizi berkata CCUS sebagai antara projek rintis dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan merupakan industri berimpak tinggi dan dijangka memberi limpahan ekonomi kepada negeri yang terlibat.

Menurutnya Terengganu adalah antara negeri yang boleh menjadi peneraju untuk melaksanakan CCUS,memandangkan terdapat telaga minyak di luar pesisir pantai dan fasiliti terminal sedia ada di Kerteh.

“Kita sedia maklum pelaburan untuk setiap satu fasiliti CCUS yang lengkap,daripada terminal hingga ke luar pesisir pantai selalunya dalam lingkungan RM20 bilion. Jadi,itu sebenarnya potensi yang ada untuk pelaburan yang (membawa) kesan limpahan ekonomi kepada Terengganu jika kita berjaya menyusun dengan baik.

“Oleh itu,di peringkat kerajaan Persekutuan,kita melihat potensi sedia ada di Kerteh untuk dikembangkan melebihi daripada industri berasaskan petrokimia dan minyak yang sedia ada. CCUS dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan industri berat baharu di Terengganu,” katanya.

Menurutnya buat masa ini kerajaan sedang memuktamadkan rang undang-undang berkaitan CCUS sebelum dibentangkan di Parlimen pada November ini agar keputusan penting mengenai pelaksanaan industri itu di Malaysia dapat dimuktamadkan pada 2025.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang terlibat turut berperanan sebagai pemudah cara antara pengendali industri CCUS seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan pelanggan termasuk pelabur asing,katanya.

Sementara itu,Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri melalui entiti dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah mengadakan perbincangan awal dengan Petronas supaya GLC atau entiti daripada kerajaan negeri boleh terlibat sebagai rakan kongsi kepada syarikat minyak dan gas itu dalam industri CCUS.

“CCUS ini isunya adalah besar dan penting bagi Terengganu supaya ekosistem yang kita buat di Terengganu akan memberi pulangan dan hasil kepada negeri sendiri,dan tentunya penting juga untuk Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.