Rumah Permainan hiburan Pendidikan anak-anak Tenaga baru Perniagaan kewangan Gelang pintar Berita ekonomi Permainan Teknologi Fesyen Kehidupan Anak Kesihatan Sukan Hartanah Berita Hotel Ibu bapa-anak Makanan

Banci Pertanian 2024: 60.4 peratus sektor pertanian Terengganu selesai dibanci

2024-08-19 berita.rtm.gov.my HaiPress

Ketua Perangkawan Malaysia,Datuk Seri Dr Mohd Uzir (kiri) ketika sesi lawatan ke tapak Bancian Pertanian 2024 di tapak projek tanaman melon manis Terengganu (MMT) di pusat Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kampung Tok Dor di sini hari ini/ BERNAMA

JERTIH,18 Ogos- Terengganu menjadi negeri kedua hampir selesai dibanci menerusi Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu sebanyak 60.4 peratus selepas Pulau Pinang yang mencatatkan peratusan bancian 65.3 peratus bermula 7 Julai lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia,Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peratusan itu hasil bancian di 55,815 daripada 92,000 tempat kediaman (TK) yang terlibat dengan aktiviti pertanian,manakala 75.6 peratus atau 363 pertubuhan perniagaan daripada 480 yang terlibat dalam kegiatan sama juga selesai dilawati pembanci.

“Bancian hingga 10 Okt ini dibuat meliputi bancian ke atas isi rumah dan pertubuhan perniagaan yang terlibat dalam aktiviti pertanian iaitu tanaman makanan dan komoditi,ternakan,perikanan,akuakultur,pembalakan dan perhutanan.

“Daerah Besut mencatatkan peratus TK pertanian tertinggi iaitu 30.9 peratus diikuti Hulu Terengganu (30.3),Setiu (27.7),Dungun (20.2),Kemaman (17.8),Kuala Terengganu (14.3),Marang (13.3) dan Kuala Nerus (8.9),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sesi lawatan ke tapak Bancian Pertanian 2024 di tapak projek tanaman melon manis Terengganu (MMT) di pusat Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kampung Tok Dor di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata sektor pertanian menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu iaitu sebanyak 7.5 peratus atau RM2.9 bilion pada tahun lepas.

“Subsektor tanaman adalah penyumbang terbesar dalam sektor pertanian di negeri ini iaitu 58.6 peratus diikuti oleh subsektor perikanan (15.6),subsektor ternakan (14.5) dan subsektor perhutanan dan pembalakan (11.4).

“Oleh itu,menyedari kepentingan sektor ini,Banci Pertanian 2024 menjadi satu usaha penting dalam menilai prestasi industri pertanian di Terengganu,” katanya.

Pada program yang disertai Timbalan Pesuruhjaya Banci Pertanian Marlini Sahul Hamid itu,Mohd Uzir turut melawat pelbagai subsektor di setiap daerah iaitu subsektor akuakultur di Kampung Chabang,Kerteh,Kemaman,penternakan lembu sado dan kambing tenusu di Kampung Kuala Besut selain projek MMT Tok Dor.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.