Rumah Permainan hiburan Pendidikan anak-anak Tenaga baru Perniagaan kewangan Gelang pintar Berita ekonomi Permainan Teknologi Fesyen Kehidupan Anak Kesihatan Sukan Hartanah Berita Hotel Ibu bapa-anak Makanan

Malaysia-China atasi cabaran ideologi, prejudis

2024-11-08 HaiPress

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR,7 November- Malaysia memilih untuk mengatasi cabaran ideologi,prejudis,dan ketidaktentuan dalam usaha mengeratkan hubungan dengan China,kata Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi perkongsian di Facebook,Anwar mengakui hubungan persahabatan Kuala Lumpur-Beijing terus berkembang terutama dalam politik,ekonomi,budaya,dan pertahanan.

Ia menggambarkan kepercayaan serta perkongsian visi antara kedua-dua negara.

"Bahkan kedua-dua negara turut berkongsi dasar dan matlamat sama terkait pembangunan yang inklusif dan mampan,di mana Malaysia menerusi gagasan MADANI,beriltizam untuk menjulang kebajikan dan martabat rakyat,keadilan sosial,ketahanan ekonomi serta kemampanan.

"Malaysia-China juga senada dalam memelihara tatakelola yang baik,memerangi rasuah dan memastikan kemakmuran memanfaatkan setiap orang ketimbang hanya dinikmati golongan tertentu," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order’ di Universiti Peking,Beijing.

Anwar turut menyentuh mengenai kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun depan yang akan memastikan semua suara didengar berlandaskan prinsip pemusatan ASEAN.

Menurutnya,prinsip itu membolehkan negara-negara ASEAN bebas berhubung dengan mana-mana kuasa besar,tanpa sebarang campur tangan dalam menentukan pendirian negara lain.

Beliau turut mengulas mengenai petikan ucapan Presiden China,Xi Jinping semasa persidangan BRICS di Kazan,yang berkongsi pandangan mengenai perkongsian masa hadapan dan keperluan mengangkat martabat kehidupan rakyat.

Beliau juga memuji kejayaan China dalam membasmi kemiskinan tegar,yang menjadi inspirasi bagi Malaysia dalam usaha merapatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan rakyat.

"Saya percaya dunia perlu terus membuka ruang untuk kerjasama,mewujudkan hubungan yang lebih akrab,meraikan kejayaan,dan menyulam kepercayaan mendalam untuk mencapai dunia yang makmur,selamat,dan damai," tambahnya.

Di penghujung syarahan,Anwar melancarkan Buku SCRIPT MADANI yang diterbitkan semula dalam bahasa Mandarin,bertujuan untuk memperkenalkan gagasan MADANI ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu,hari terakhir lawatan kerja di China,Anwar mengadakan satu lagi pertemuan bersama pelabur berpotensi iaitu China Investment Corporation (CIC) dan China International Capital Corporation (CICC).

"Dalam pertemuan ini,CIC dan CICC menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dan melihat keperluan mempermudahkan kemasukan syarikat-syarikat China yang ingin mengembangkan operasi mereka di Asia Tenggara.

"CICC turut menyatakan minat untuk bekerjasama dengan syarikat permodalan Malaysia bagi mewujudkan dana strategik yang menyokong pelaburan dalam sektor teknologi tinggi dan yang sedang pesat berkembang.

"Saya mengalu-alukan potensi peningkatan pelaburan China serta menegaskan kepentingan mempererat hubungan perdagangan dan ekonomi Malaysia-China," katanya.

Tambah Anwar,Malaysia juga komited untuk memperkukuh kerjasama serantau,khususnya menerusi Sidang Kemuncak ASEAN GCC+China.

Sementara itu,Anwar turut berkesempatan mengunjungi Pusat Taklimat Eksekutif Huawei.

"Kagum melihat perkembangan teknologi dan penyelesaian yang dibangunkan Huawei meliputi 5.5G,pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) yang telah memangkin transformasi digital dalam sektor kerajaan dan industri.

"Saya turut dimaklumkan mengenai beberapa teknologi Huawei yang digunakan bagi merungkai beberapa isu di Malaysia,terutama dalam merapatkan kesenjangan digital.

"Ini termasuk penyediaan ratusan tapak rangkaian mudah alih serta perkhidmatan awan dan pusat operasi pintar di Sarawak,yang membantu meningkatkan liputan rangkaian tanpa wayar di kawasan pedalaman,sekali gus mencetus kecepatan transformasi digital," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.