Rumah Permainan hiburan Pendidikan anak-anak Tenaga baru Perniagaan kewangan Gelang pintar Berita ekonomi Permainan Teknologi Fesyen Kehidupan Anak Kesihatan Sukan Hartanah Berita Hotel Ibu bapa-anak Makanan

Malaysia, UAE bincang kerjasama perkukuh hubungan dua hala

2024-11-17 HaiPress

FOTO FB Zahid Hamidi

DUBAI,17 November- Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang dalam rangka perbincangan kerjasama untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dalam beberapa sektor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pertemuan beliau dengan Menteri Tenaga dan Infrasturktur UAE Suhail Mohamed Al Mazrouei di sini,bagi membincangkan beberapa kerjasama termasuk mengenai isu keterjaminan makanan.

“Saya dapat melihat kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau ini dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan.

“Ini secara tidak langsung membuka peluang besar bagi Malaysia untuk meningkatkan eksport produk makanan dan halal ke pasaran UAE serta rantau sekitarnya,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Dalam pertemuan itu,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid dan Suhail turut membincangkan mengenai potensi kerjasama dalam sektor pengurusan logistik dan pelabuhan.

Ini khususnya dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang telah digunakan UAE dalam pengurusan pelabuhan dan terbukti berjaya mengoptimumkan pengendalian kontena serta meningkatkan efisiensi logistik mereka.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata teknologi itu sekiranya dapat diaplikasikan di Malaysia,pasti dapat membantu meningkatkan kapasiti dan daya saing pelabuhan tempatan seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Westports.

Selain itu,beliau berkata kedua-dua negara juga membincangkan mengenai peluang kerjasama dalam pengurusan bencana.

“Saya sendiri telah melihat UAE melalui Space42 mempunyai sistem pemantauan bencana yang canggih. Ini berpotensi untuk membantu Malaysia dalam membangunkan sistem amaran awal yang mampu meningkatkan keupayaan negara dalam menangani bencana dengan lebih cekap,” katanya.

Turut dibincangkan,potensi kerjasama dalam pembangunan pusat data dengan penggunaan tenaga hijau kerana UAE telah melabur secara signifikan dalam infrastruktur melibatkan empat reaktor nuklear yang berjaya menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan elektrik di negara tersebut.

“Saya juga telah menyambut baik cadangan UAE untuk berkolaborasi dengan Malaysia dalam teknologi data bagi memperkasa fungsi dan data sekuriti di negara kita,” kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid.

Mengakhiri pertemuan itu,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengambil kesempatan menjemput pihak UAE untuk menghadiri MIHAS@Dubai 2024 yang berlangsung di Dubai World Trade Centre bermula esok sebagai platform memperkenalkan produk Malaysia,selain mengundang negara itu untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC),tahun depan.

“Saya juga menyatakan penghargaan atas sokongan UAE terhadap Malaysia sebagai negara rakan BRICS. Diharapkan hubungan erat ini akan membuka lebih banyak peluang baharu bagi rakyat Malaysia serta meningkatkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa sebagai rakan strategik yang kukuh. Insya-Allah,” katanya.-BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.