2025-05-16
IDOPRESS
Foto BERNAMA
IPOH,16 Mei - Pemandu lori muatan batu mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan sembilan kematian anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus,Sungai Lampam Teluk Intan,Selasa lalu.
Tertuduh,Rudi Zulkarnain Mat Radi,45,membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Teluk Intan,pagi tadi.
Mengikut pertuduhan,tertuduh didakwa telah memandu lori secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kepada S. Perumal,44; Mohd. Roslan Abdul Rahim,46; Mohd. Pozli Jaudin,41; Nurit Pandak,34; Amiruddin Zabri,38; Mohamad Hilmi Mohd. Azlan,38; Muhamad Akmal Muhamad,35; Damarrulan Abdul Latif,33,dan Akmal Wafi Annuar,28.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang dan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak lebih lima tahun dari tarikh sabitan,jika sabit kesalahan.
Terdahulu,Timbalan Pendakwa Raya,Izzuddin Fakri Hamdan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai di mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap minggu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Jun depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Dalam kejadian 8.50 pagi 13 Mei lalu,sembilan anggota FRU dari unit 5 Sungai Senam terkorban selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan bersempena perayaan Chitrapournami pada Isnin lalu.