Rumah Permainan hiburan Pendidikan anak-anak Tenaga baru Perniagaan kewangan Gelang pintar Berita ekonomi Permainan Teknologi Fesyen Kehidupan Anak Kesihatan Sukan Hartanah Berita Hotel Ibu bapa-anak Makanan

Sidang Kemuncak ASEAN: Pengukuhan kerjasama serantau, antara rantau tumpuan hari ini

2025-05-27 IDOPRESS

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,27 Mei - Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang memasuki hari terakhir hari ini,akan memberi tumpuan utama kepada pengukuhan kerjasama ASEAN bersama rakan strategik.

Ini menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata kedua-dua sidang itu akan membincangkan langkah konkrit untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan,pelaburan dan pembangunan mampan.

Ia selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.

Selain itu,turut berlangsung hari ini ialah Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16 dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16 yang akan memperkemas agenda pembangunan subrantau dan mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan dalam kalangan negara terlibat.

Menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini,Tunku Nashrul menjelaskan Malaysia komited untuk memastikan Kepengerusian ASEAN 2025 terus menghasilkan keputusan yang bermakna,berpaksikan prinsip,dan memberi kesan langsung kepada rakyat ASEAN.

Sekaligus,meneruskan momentum positif yang telah dicapai semalam dan dijangka memperkukuh lagi peranan Malaysia dalam mengetuai agenda kerjasama strategik ASEAN bersama rakan serantau dan global.

“Melihat kepada kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini,kita harus berbangga mempunyai pasukan yang komited untuk mengharumkan nama negara dan membawa pulangan hasil yang terbaik buat rakyat keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu,mengenai Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama,Tunku Nashrul berkata ia merupakan antara pencapaian utama yang menjadi sebuah visi strategik jangka panjang yang akan memacu Komuniti ASEAN bagi dua dekad akan datang.

Dokumen itu merupakan kesinambungan ASEAN 2025: Forging Ahead Together yang dimeterai pada Kepengerusian Malaysia 2015 dan kini menjadi peta hala tuju baharu untuk menjadikan ASEAN sebuah komuniti berdaya tahan,inovatif,dinamik dan berpaksikan rakyat,serta menjadi pusat pertumbuhan utama di rantau Indo-Pasifik menjelang 2045.

“Visi ini digariskan melalui enam dokumen penting termasuk pelan strategik bagi tiga tunjang komuniti ASEAN serta pelan keterhubungan serantau.

“Ia merangkumi lebih 500 langkah strategik yang akan diterjemahkan kepada program kerja konkrit oleh badan-badan sektoral ASEAN,“ katanya.

Antara intipati utama ASEAN 2045 adalah untuk memperkukuh kedudukan ASEAN dalam ekonomi global sebagai pasaran tunggal yang mampan,pintar dan bersambung,mewujudkan komuniti yang inklusif,dengan tumpuan kepada pendidikan,kesihatan,peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial.

Selain itu,ia turut mengangkat ASEAN sebagai entiti yang berperanan aktif di peringkat antarabangsa melalui prinsip keamanan,multilateralisme dan tadbir urus baik.

Tunku Nashrul berkata ASEAN 2045 turut memberi penekanan kepada peranan belia,wanita dan golongan rentan dalam proses pembinaan komuniti serantau.

Dokumen itu ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar selaku Pengerusi ASEAN,Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr.,yang juga pengerusi ASEAN akan datang,Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah,Perdana Menteri Kemboja Hun Manet,Presiden Indonesia Prabowo Subianto,Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone,Perdana Menteri Singapura Lawrance Wong,Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra,Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh,dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar Aung Kyaw Moe.

Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao,turut berada di pentas menyaksikan majlis itu.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.