2025-06-25
IDOPRESS
Malaysia mencatatkan kadar inflasi serendah 1.2 peratus pada Mei 2025,iaitu paras terendah dalam tempoh 51 bulan / Foto Hiasan
PUTRAJAYA,24 Jun – Malaysia mencatatkan kadar inflasi serendah 1.2 peratus pada Mei 2025,iaitu paras terendah dalam tempoh 51 bulan,menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan,Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata angka itu direkodkan melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat kepada 134.4 mata berbanding 132.8 mata pada bulan sama tahun lalu.
Katanya,trend inflasi rendah itu turut sejajar dengan beberapa negara serantau yang mencatatkan kadar serupa seperti Korea Selatan (1.9%),Indonesia (1.6%) dan Filipina (1.3%),didorong oleh penurunan harga minyak mentah dunia.
“Penurunan ini turut ditunjukkan menerusi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan yang merosot 3.4 peratus pada April 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Mohd Uzir menjelaskan,sektor perlombongan menjadi penyumbang utama kepada penurunan tersebut apabila mencatatkan kemerosotan 17.8 peratus,berikutan susut nilai dalam aktiviti pengekstrakan petroleum mentah.
Kumpulan Makanan dan Minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP menunjukkan peningkatan perlahan sebanyak 2.1 peratus pada Mei 2025.
Namun,subkumpulan Makanan di rumah tidak mencatatkan sebarang peningkatan berbanding bulan sebelumnya yang naik 0.5 peratus. Sebaliknya,Makanan di luar rumah meningkat sedikit kepada 4.4 peratus berbanding 4.3 peratus pada April.
Tambah Dr. Mohd Uzir,sebanyak 342 daripada 573 item atau 59.7 peratus merekodkan kenaikan harga.
Daripada jumlah itu,330 item mencatatkan kenaikan kurang atau setara dengan 10 peratus,manakala hanya 12 item menunjukkan peningkatan melebihi 10 peratus pada Mei 2025.
Sementara itu,180 item mengalami penurunan harga dan 51 item kekal tidak berubah,sekali gus membantu mengimbangi tekanan inflasi secara keseluruhan.