2025-07-08
HaiPress
Datuk Che Roslan Che Daud merasmikan Majlis Santuni MADANI Warga Rukun Tetangga Daerah Tumpat serta PIBG SMK Mahmud Mahyidin dan Peluncuran Sekolah Angkat MADANI,hari ini
TUMPAT,8 Julai- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyidin,Tumpat,Kelantan diumumkan sebagai Sekolah Angkat MADANI oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN),menjadikannya antara 25 sekolah di daerah itu yang terpilih di bawah inisiatif yang dilancarkan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,pada Jun lalu.
Ketua Pengarah JPNIN,Datuk Che Roslan Che Daud berkata,program ini menekankan pembangunan infrastruktur,perolehan aset dan sahsiah pelajar,khususnya di sekolah luar bandar.
Jelas beliau,selepas sesi libat urus bersama pihak sekolah,JPNIN bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menaik taraf fasiliti termasuk mewujudkan kelas pintar,pembaikan pendawaian serta pembelian dua unit robotik dan peralatan pembelajaran lain.
"Komponen kita ni bergantung kepada libat urus pihak sekolah,ada yang buat pembaikan dan sebagainya. Di sini,di Sekolah Angkat MADANI,kita menaik taraf kelas,pembaikan pendawaian dan juga aset-aset seperti smart TV,robotik dan sebagainya bagi menjadikan satu kelas yang pintar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Santuni MADANI Warga Rukun Tetangga Daerah Tumpat serta PIBG SMK Mahmud Mahyidin dan Peluncuran Sekolah Angkat MADANI,hari ini.
Tambahnya,pelaksanaan Sekolah Angkat MADANI bukan sekadar simbolik,sebaliknya strategi memperkukuh nilai perpaduan,kenegaraan dan jati diri dalam kalangan pelajar.