2025-07-10
IDOPRESS
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor,Ling Tian Soon
JOHOR BAHRU,10 Julai – Kerajaan Johor mengakui wujud kebimbangan berhubung dakwaan hospital di Singapura menawarkan gaji lumayan sehingga RM385,000 setahun bagi menarik doktor-doktor dari Malaysia,khususnya di negeri itu,untuk berkhidmat di republik tersebut.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor,Ling Tian Soon berkata isu tersebut bukan perkara baharu dan telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.
“Ada hospital dari Singapura menawarkan tawaran yang sangat menarik kepada petugas kesihatan dalam negeri Johor,dan sebahagian mereka telah pun menerima tawaran itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor 2025,yang dihadiri lebih 1,000 jururawat dan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor,Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut beliau,kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memperbanyakkan latihan tenaga kerja kesihatan,selain menawarkan peluang dan insentif lebih baik agar mereka terus setia berkhidmat dalam sistem kesihatan awam.
“Kita mahu mereka terus menghargai peluang berkhidmat untuk negara. Bukan sekadar pekerjaan,tetapi ada hati dan jiwa untuk menjaga tanah air,” tambahnya.
Pada majlis itu,Kerajaan Negeri Johor turut mengumumkan peruntukan RM400,000 bagi kebajikan jururawat di negeri itu,sebagai menghargai peranan penting mereka dalam sistem kesihatan.
Dalam perkembangan berkaitan,Ling turut memaklumkan pengisian kekosongan petugas kesihatan di Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dijadual dibuka 1 Ogos ini akan menjadi fokus utama perbincangan bersama KKM esok.
Langkah segera itu melibatkan pemindahan petugas berpengalaman,termasuk doktor dan jururawat,dari beberapa hospital sedia ada terutama dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kawasan sekitar HPG.
“Kami faham ia bukan perkara mudah. Seorang doktor perlu habiskan kursusnya,begitu juga jururawat yang memerlukan latihan bertahun-tahun. Tetapi kami bersedia bekerjasama dengan KKM untuk merangka strategi jangka pendek,sederhana dan panjang,” katanya.
Setakat ini,seramai 43 petugas dari HSA telah dipindahkan ke HPG sebagai persediaan awal sebelum hospital itu mula beroperasi.