2025-07-11
IDOPRESS
Ketua Ekonomi Bank Muamalat,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid/Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,10 Julai -Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas dijangka memberi kelegaan kepada individu dan syarikat yang mempunyai pembiayaan dengan kadar berubah,sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata,langkah tersebut akan menyebabkan kadar pembiayaan sedia ada disemak semula kepada paras yang lebih rendah,seterusnya mengurangkan jumlah bayaran bulanan peminjam.
"Penjimatan ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna pengguna dan memberi rangsangan kepada perbelanjaan domestik serta pelaburan oleh isi rumah dan perniagaan," jelas beliau.
Dr Mohd Afzanizam turut menjelaskan bahawa dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar akibat ketegangan perdagangan dan dasar tarif yang dilaksanakan Amerika Syarikat,langkah penurunan OPR mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya,selain memberi manfaat kepada peminjam sedia ada,penurunan OPR juga memberi kelebihan kepada bakal peminjam,terutamanya mereka yang merancang untuk membeli rumah atau kenderaan.
"Pembiayaan baharu dijangka ditawarkan pada kadar lebih rendah dan kompetitif.
"Ini akan meningkatkan minat terhadap pembelian aset besar,seterusnya menyokong aktiviti ekonomi negara,khususnya pada separuh kedua tahun ini,” tambah beliau.
Penurunan OPR merupakan antara langkah dasar monetari yang diambil oleh pihak berkuasa kewangan bagi menyediakan sokongan jangka pendek terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia.