2025-07-23
IDOPRESS
Kebakaran kecil melibatkan suis soket / Foto Majoriti
KLANG,22 Julai - Wad zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah,HTAR,Klang cemas apabila berlaku kebakaran kecil melibatkan suis soket,petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor,Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata,kejadian sekitar pukul 5 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa serta kerosakan yang teruk.
Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender bergegas ke lokasi kejadian.
Ahmad Mukhlis berkata api bagaimanapun telah dipadamkan oleh pihak hospital sebelum ketibaan bomba dengan anggaran kemusnahan satu peratus dan tidak melibatkan mangsa.
Operasi pemantauan dan pengesahan keselamatan diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II,Yuszi Abdullah,punca kejadian masih dalam siasatan.
Terdahulu,beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan suasana kecemasan di HTAR,dengan pesakit dibawa keluar dari Zon Merah.
Kakitangan perubatan dilihat bertungkus lumus menguruskan pemindahan pesakit demi menjamin keselamatan semua pihak.