2025-07-23
IDOPRESS
Foto hiasan
KUALA LUMPUR,22 Julai - Lebih 239,000 pekebun kecil getah menerima manfaat Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan bayaran berjumlah RM523.4 juta sejak dilaksanakan pada September 2015 hingga Jun 2025.
IPG dilaksana bagi menjamin kebajikan pekebun kecil getah agar mampu memperoleh pendapatan yang wajar sekiranya harga getah jatuh di bawah Paras Harga Pengaktifan.
Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan Lembaga Getah Malaysia turut melaksanakan Projek Rintis Model Baharu IPL+ di Kedah dan Perak bagi menggalakkan pengeluaran lateks yang menawarkan pulangan lebih tinggi.
"Inisiatif berkenaan juga merupakan langkah awal bagi mengurangkan kebergantungan kepada lateks import.
"Sehingga Jun 2025,sebanyak 221 tan metrik lateks telah dihasilkan dan projek ini akan diperluas ke Negeri Sembilan,Pahang dan Selangor," menurut jawapan bertulis tersebut.
Selain itu,tiga pusat Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) sedang dibangunkan dan dijangka beroperasi pada suku kedua 2026.
Program ini membantu pekebun kecil menjual getah krip bernilai tambah secara terus tanpa orang tengah bagi meningkatkan pendapatan.