2025-10-15
HaiPress
FOTO IPD Kemaman
KEMAMAN,15 Oktober - Dua lelaki maut selepas motosikal yang mereka tunggang terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 145,Jalan Kuala Terengganu–Kuantan,berhampiran persimpangan lampu isyarat sebuah kilang besi keluli,pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman,Penguasa Polis Supt Mohd Razi Rosli,berkata kejadian berlaku sekitar 8.01 pagi dan mengorbankan Shamsuddin Yusof,39 tahun,serta Mohd Alis Ismail,36 tahun,yang disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
"Ketika kejadian,Mohd Alis,pekerja Syarikat Air Terengganu (SATU),dalam perjalanan dari Kampung Bukit Kuang menuju ke Bandar Kerteh untuk menjalankan tugas. Sementara itu,Shamsuddin,yang bekerja sebagai tukang masak di kilang besi keluli berhampiran lokasi kejadian,dipercayai sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari Bandar Dungun.
"Siasatan awal mendapati,motosikal ditunggang Shamsuddin dipercayai memasuki laluan bertentangan dengan menunggang melawan arus untuk masuk ke kawasan kilang berkenaan,sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang Mohd Alis," menurut Supt Mohd Razi.
Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.
Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman (HK) untuk proses bedah siasat,dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.