2025-10-15
HaiPress
Foto BERNAMA
CYBERJAYA,15 Oktober - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah melaksanakan Siasatan Awam berhubung Cadangan Penentuan Suruhanjaya bagi Standard Mandatori untuk Pendaftaran Pengguna Perkhidmatan Selular Awam Prabayar.
Menerusi kenyataan,MCMC berkata pelaksanaan Kertas Siasatan Awam (PI) tersebut dibuat selaras dengan Seksyen 55 dan 61 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,bertujuan memastikan ketelusan,keterangkuman dan akauntabiliti dalam proses pembangunan Standard Mandatori.
"Langkah ini memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan serta maklum balas terhadap piawaian yang dicadangkan,seterusnya membantu MCMC menilai kesesuaian,keberkesanan dan impaknya sebelum standard tersebut dimuktamadkan," menurut kenyataan itu.
Standard Mandatori yang dicadangkan ini akan menggantikan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Prabayar 2017 dan memperkukuh integriti proses pendaftaran melalui pengenalan mekanisme keselamatan baharu menggunakan platform automatik yang selamat,iaitu Pengesahan Pelbagai Faktor (Multi-Factor Authentication,MFA).
Di bawah peraturan baharu ini,MCMC juga akan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan bukan sahaja terhadap penyedia perkhidmatan tetapi juga terhadap pengedar yang terlibat dalam proses pendaftaran pengguna akhir prabayar.
"Langkah ini memastikan akauntabiliti merentasi keseluruhan rantaian pendaftaran,di mana pengedar turut tertakluk kepada obligasi di bawah Seksyen 51 AKM 1998 bagi mengurangkan risiko salah laku yang boleh menjejaskan perlindungan pengguna",menurut kenyataan itu.
Selain itu,peraturan yang disemak semula ini turut memperkenalkan perlindungan tambahan untuk pengguna bawah umur,iaitu individu berumur antara 12 hingga 17 tahun dikehendaki mendaftar melalui ibu bapa atau penjaga sah.
Standard yang dicadangkan ini juga memperkenalkan had baharu terhadap bilangan kad SIM yang boleh didaftarkan atas nama seorang individu,sama ada warganegara Malaysia atau warga asing,sebagai langkah untuk membendung penyalahgunaan kad SIM yang berterusan.
MCMC turut mengalu-alukan penyertaan aktif daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan standard yang dibangunkan adalah menyeluruh,praktikal,dan selaras dengan keperluan semasa industri telekomunikasi.
Maklum balas dan pandangan boleh dihantar melalui pautan:https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/notice-public-inquiry-on-proposal-of-new-commiss
sehingga 28 November ini.